
Sejak kebelakangan ini, glutathione popular diperkatakan. Selalu kita dengar dari iklan-iklan produk untuk mencerahkan kulit. Namun, benarkah apa yang diperkatakan? Sebelum itu, mari kita berkenalan dahulu dengan glutathione.
Glutathione terdiri daripada tiga asid amino yang berbeza: glutamine, glycine, dan cysteine. Ia mempunyai berat molekul yang rendah dan membentuk struktur thiol-tripeptide yang larut dalam air.
Tugas utama glutathione ialah menghalang pelbagai oksidan secara langsung, seperti superoxide anion, hidroxyl radicals, nitric oxide, dan radikal karbon.
Glutathione juga pemangkin kepada proses liver detoxification di dalam tubuh badan manusia. Selain itu, glutathione melindungi sel dari berlakunya oxidation adalah melalui kitaran semula vitamin C dan E dalam tubuh.
Oleh kerana glutathione bagus untuk proses detoksifikasi, ia bukan sahaja baik untuk organ dalaman; malahan glutathione juga dapat membantu memperbaiki keseluruhan penampilan secara luaran.
Selain itu, glutathione juga dapat mencegah dan mengurangkan kerosakan serta kematian sel, menjaga mitokondria supaya sentiasa efektif supaya dapat menghasilkan tenaga dan melindungi DNA kita.
Fungsi utama glutathione adalah ianya bertindak sebagai antioksidan. Glutathione adalah antioksidan yang paling aktif dalam fisiologi manusia.
Fungsi antioksidan ini membuatkan glutathione mempunyai kesan antimelanogenic. Oleh sebab itu, glutathione bukan sahaja mampu memberikan kesan antipenuaan, ia juga mampu mencerahkan tona kulit.
Reduced gluthatione (GSH) sering digunakan sebagai supplement dan juga sebagai ramuan formulasi krim topikal. Namun, terdapat juga kajian yang menunjukkan oxidized glutathione (GSSG) mampu memberikan manfaat kepada kulit.
Jadi, bagaimanakah glutathione boleh membantu mencerahkan kulit? Sebelum itu, mari kita lihat bagaimana pigmentasi kulit boleh berlaku.
Pigmentasi berlaku apabila kulit terdedah kepada sinar UV dan reactive oxygen species (ROS). Kemudian kulit akan mengeluarkan melanin untuk melindungi sel-sel kulit dari kerosakan sinaran UV.
Walaubagaimanapun, pigmentasi melanin di epidermis menyebabkan perubahan kulit seperti sun tanning dan juga pigmentation spot.
Di sinilah GSH bertindak. GSH dapat menghalang enzim tyrosinase daripada membentuk melanin dan mengaktifkan phaeomelanin pathway.
Phaeomelanin ialah pigmen kulit yang berwarna lebih cerah, berbanding eumelanin yang menghasilkan pigmen kulit yang lebih gelap. Jadi, lebih banyak phaeomelanin, tona kulit yang lebih cerah akan diperolehi.
Kajian mengenai kesan penggunaan GSH ke atas kulit telah dibuat ke atas wanita Indonesia yang dilaksanakan oleh Etnawati et al. dari Universiti Gajah Mada. Kajian ini menggunakan 0.1% dan 0.5% krim yang mengandungi GSH ke atas wanita yang berusia 30an.
Keputusan eksperimen double blind ini menunjukkan kesan antimelanogenic sepanjang lapan minggu penggunaan, dimana 0.5% GSH mencatatkan pengurangan pigmentation lession yang lebih ketara.
Selain itu, sebuah kajian dari Kyowa Hakko Bio Co. Ltd yang diterbitkan oleh Dove Medical Press menunjukkan krim dan losyen topikal menggunakan GSSG adalah efektif dalam mencerahkan tona kulit wanita Filipina berusia di antara 30 hingga 50 tahun.
Kesan perubahan melanin index value pada kawasan sapuan losyen yang mengandungi 2% GSSG boleh dilihat dalam minggu pertama selepas penggunaan. Selain itu, setelah 5 minggu ujian dijalankan, GSSG menunjukkan peningkatan yang signifikan dalam kandungan kelembapan stratum corneum, pengurangan pembentukan kedutan, dan peningkatan kehalusan kulit.
Menurut pengkajinya, Watanabe et al. dalam Clinical, Cosmetic and Investigational Dermatology, GSH tidak stabil apabila berada dalam bentuk aqueous; jadi ianya tidak sesuai diformulasikan di dalam krim atau losyen.
GSSG yang diaplikasikan pada bahagian stratum corneum boleh menembusi skin barrier. Kemudian, GSSG akan ditukar kepada GSH apabila bertindak pada sel melanocytes di epidermis, sebelum phaeomelanin pathway diaktifkan.
Selain itu, penggunaan losyen yang mengandungi GSSG secara topikal berkesan mengurangkan kedutan. Ini kerana tahap kelembapan kulit juga terbukti jauh lebih tinggi apabila mengunakan losyen yang mengandungi GSSG.
Lebih menarik, aplikasi krim yang mengandungi glutathione, menunjukkan ia lebih efektif daripada penggunaan hydroquinone yang berbahaya.
Dengan kelebihan sebagai antipenuaan dan pencerahan kulit ini, glutathione menjadi pilihan researchers dan pengguna sebagai salah satu rutin dalam penjagaan kulit.