CENTELLA ASIATICA: PENYELAMAT KULIT MASA KINI ??

CENTELLA ASIATICA: PENYELAMAT KULIT MASA KINI ??

Centella asiatica juga dikenali sebagai pegaga ialah tumbuhan dengan nilai perubatan yang tinggi. Ia telah digunakan selama beratus-ratus tahun dalam perubatan tradisional dan juga berorientasi saintifik.

Masyarakat Melayu biasa menjadikan C. asiatica sebagai ulam. Manakala di China, ia ditumbuk menjadi masker sebelum disapu pada kulit. Ini dikatakan dapat menghilangkan parut dan menghaluskan kulit.

Selain itu,  C. asiatica juga semakin mendapat tempat di Barat sebagai supplement. Penambahan ekstrak bahan aktifnya telah mula digunakan dalam penghasilan syampu dan produk penjagaan kulit.

Sebatian C. asiatica menunjukkan spektrum therapeutic activity yang luas. Antara yang paling penting kepada kulit ialah aktiviti antioksidan, antiinflammatory, antimikrobial dan antikarsinogenik.

Sebatian aktif yang penting dalam aktiviti dermatologi dan pharmakologinya ialah pentacyclic triterpenes (TTF) dan termasuklah asiaticoside, madecasosside, asiatic acid dan madecassic acid. Kandungan bahan aktif ini berbeza mengikut kawasan ia ditanam.    

Dalam bidang kosmetik, C. asiatica telah digunakan sebagai agen antipenuaan yang disebabkan oleh matahari (photoaging). Mekanisme tindakan TTF melibatkan penggalakkan penghasilan fibroblast serta meningkatkan sintesis kandungan kolagen dan fibronektin intraselular.  

Hal ini unik kerana kebolehan TTF menggalakkan peningkatan kolagen type I. Kebiasaannya, jumlah kolagen jenis ini menurun seiring bertambahnya usia.

Tindakan itu disahkan melalui kertas kajian yang ditulis oleh Haftek et al. dari Universiti Lyon, Perancis pada tahun 2008 lagi. Percubaan klinikal double blind telah dilakukan secara rawak ke atas 20 peserta wanita berumur 45-60 tahun dengan kulit bermasalah kesan daripada photoaging.

Kesan penggunaan 0.1% madecassoside dari C. asiatica secara topikal bersama-sama 5% vitamin C pada kulit mereka selama enam bulan menghasilkan peningkatan yang ketara dalam ketegangan, keanjalan dan penghidratan kulit, serta disahkan oleh ujian biometrologi yang sesuai.

Ini dikuatkan lagi dengan kajian daripada Hashim et al. menerusi tulisan yang bertajuk Triterpenes Composition and Bioactivities of Centella asiatica. Kajian ini mendapati komposisi dan bioaktiviti TTF pada C. asiatica bukan sahaja menggalakkan penghasilan kolagen dan bersifat antioksidan, ia juga antiselulit dan mempunyai keupayaan sebagai penghalang sinar UV.

Selain itu, kajian oleh Ratz-Lyko et al. dari Academy of Cosmetics and Health Care menunjukkan kesan C. asiatica kepada penghidratan permukaan kulit, barrier function stratum corneum dan sifat antiinflamasi berdasarkan model mikroinflamasi methyl nicotinate pada kulit manusia.

Peningkatan ketara hidrasi stratum corneum dapat dilihat selepas seminggu ujian penggunaan 2.5% dan 5% ekstrak C. asiatica. Keputusan juga menunjukkan peningkatan hidrasi stratum corneum lebih tinggi apabila 5% ekstrak C. asiatica digunakan dalam bentuk emulsion (25%) berbanding hydrogel (22%).

Hal ini kerana air terikat dengan kehadiran triterpene saponins dalam C. asiatica, iaitu rantai gula hidrofilik (glikon) terutamanya glukosa dan rhamnose yang mempunyai keupayaan untuk mengikat air dalam lapisan occlusive kulit.

Transepidermal water loss (TEWL) yang diuji pada 25 orang sukarelawan yang menggunakan emulsion dan hydrogen ekstrak C. asiatica selama empat minggu juga menunjukkan penurunan. Ekstrak C. asiatica dapat mengikat air di permukaan stratum corneum dengan membentuk occlusive hydrophilic dan dapat memperbaiki epidermal barrier; misalnya karbohidrat, saponin dan polifenol.

Ciri-ciri C. asiatica yang menunjukkan peningkatan penghidratan stratum corneum dan fungsi epidermal barrier serta aktiviti oxidation ini menjadikannya sangat berpotensi untuk digunakan dalam kosmetik antipenuaan dan pelembap.

C. asiatica yang digunakan secara topikal tidak bersifat toksik dan kemungkinan kesan sampingan jarang berlaku. Namun, pengguna masih perlu berhati-hati dengan sebarang reaksi alahan.


#antipenuaan
#serum
#moisturizer