
Anggur (Vitis vinifera) adalah tanaman penting yang telah lama dikaji kerana kesan positifnya terhadap kesihatan pengguna. Selain daripada buah dan daun, minyak Vitis vinifera yang diekstrak daripada bijinya juga turut terlibat dalam banyak kajian.
Ekstrak biji Vitis vinifera mengandungi pelbagai komponen aktif secara biologinya dan kaya dengan vitamin E, iaitu di antara 1 hingga 53 mg bagi setiap 100 g minyak. Jumlahnya tidak tetap dan berbeza mengikut tempat anggur ditanam dan cara penghasilan minyak ini.
Terdapat beberapa manfaat minyak biji Vitis vinifera apabila disapukan terus pada kulit. Ini termasuklah:
●Aktiviti Antioksida
Menurut Yilmaz et al. dalam Journal of Agriculture Food Chemistry, ekstrak biji Vitis vinifera ini mengandungi gallic acid, catechin, dan epicatechin sebagai phytochemicals yang utama. Ketiga-tiga phytochemicals ini menyumbang kepada <26% keupayaan antioksidan minyak biji anggur.
Selain daripada itu, procyanidins dan proanthocyanidins serta vitamin E juga dapat ditemui dari ekstrak biji Vitis vinifera. Kesemua komponen flavonoids dan polyphenol tersebut membentuk gabungan sinergistik dan menghasilkan kebolehan untuk bertindak sebagai antioksidan yang sangat efektif.
●Kesan Antipenuaan
Selain daripada bertindak sebagai antioksidan, linoleic acid dalam ekstrak Vitis vinifera juga penting untuk kelembapan kulit. Kandungan vitamin E dalam ekstrak ini juga sangat sesuai digunakan untuk melembapkan tanpa menyumbat liang pori kulit. Ia juga membantu menguatkan skin barrier function yang penting untuk melindungi kulit daripada penuaan.
Selain itu, ekstrak biji anggur juga mengandungi resveratrol, iaitu salah satu agen antioksida. Ia juga terlibat dalam memulihkan kesan penuaan akibat sinar matahari dan kulit berparut.
Igielska-Kalwat et al. dari School of Health, Beauty and Education, Poland pada tahun 2019 tidak hanya mengesahkan sifat resveratol yang melembapkan kulit, malah membuktikan ia juga dapat meningkatkan keanjalannya.
Kesan ini direkodkan hasil pemerhatian ke atas 20 sukarelawan dalam jangka masa 6 minggu. Hanya dalam masa 2 minggu, penggunaan krim sapuan secara berterusan telah berjaya meningkatkan penghidratan kulit sebanyak 20%.
●Kesan Antiinflammatory
Manakala bagi kesan antiinflammatory pula, komponen β-sitosterol dalam ekstrak biji anggur merupakan 'watak' utama. β-sitosterol berkeupayaan mengurangkan tekanan oksidatif dan menurunkan tahap low density lipoprotein (LDL) ketika oxidative stress dan sintesis eicosanoid. Seterusnya, mencegah pembebasan proinflammation mediator oleh makrofaj yang mengakibatkan kemerahan pada kulit.
●Menggalakkan Penyembuhan Luka
Berdasarkan kajian oleh Hemmati et al. dari Ahvaz Jundishapur University of Medical Sciences, Iran, ekstrak biji Vitis vinifera juga terbukti berkesan dalam aktiviti penyembuhan luka. Kajian dijalankan ke atas luka yang sengaja dilakukan menggunakan gunting bedah (surgical scissor) untuk membuang skin tag dan tahi lalat pada permukaan kulit.
Seramai 40 orang telah menyertai kajian double blind clinical trial ini. 50% peserta disapu dengan 2% krim ekstrak biji anggur (Vitis vinifera), manakala selebihnya menggunakan krim placebo. Secara purata, hasil menunjukkan pemulihan luka secara total berlaku seawal hari ke-8 untuk kumpulan rawatan dan pada hari ke-14 untuk kumpulan placebo.
Hal ini kerana proanthocyanidins dan resveratrol dari ekstrak biji Vitis vinifera mempunyai keupayaan untuk menggalakkan endothelial growth factor, meningkatkan kepadatan sel dan penghasilan tisu penghubung di tempat luka, serta memperbaiki struktur sel pada luka. Oleh itu, aplikasi secara topikal menunjukkan pengecutan dan penutupan luka pada kulit.
●Aktiviti antimikrobial
Resveratrol merupakan salah satu sebatian fenolik utama minyak biji Vitis vinifera. Ia menunjukkan aktiviti antimikrobial terhadap patogen, seperti Staphylococcus aureus, Enterococcus faecalis, Escherichia coli dan Pseudomonas aeruginosa.
Resveratrol mampu mengakibatkan kerosakan oksidatif pada membran bakteria tanpa mempengaruhi sel-sel perumah.
Selain daripada kesan secara langsung ini, minyak biji Vitis vinifera juga digunakan sebagai carrier oil. Bersifat ringan, mudah diserap oleh kulit, dan mempunyai aroma neutral menjadikannya sebagai carrier oil yang baik.
Biasanya carrier oil digunakan bersama-sama minyak pati (essential oil) lain untuk mencairkan dan "membawanya" ke dalam kulit. Di samping tidak mengganggu sifat terapeutik minyak pati yang dicampurkan, minyak biji Vitis vinifera mempunyai kelebihan kerana tidak menyebabkan kerengsaan apabila disapukan terus ke kulit.
Ekstrak biji Vitis vinifera tidak mempunyai kesan sampingan apabila disapukan pada kulit. Namun, sekiranya seseorang itu mempunyai alahan kepada anggur atau minyaknya, bolehlah mencuba dengan menyapu sedikit pada kulit lengan untuk memastikan tiada reaksi alergi. Jika berlaku kegatalan atau kemerahan, adalah dinasihatkan untuk memberhentikan penggunaanya.
Disebabkan oleh manfaat yang sangat banyak, minyak biji anggur telah digunakan dalam penghasilan produk-produk kesihatan dan kecantikan. Di dalam rangkaian produk Dr Anne Skincare, serum dan moisturizer adalah antara produk yang diperkaya dengan manfaat dari biji anggur ini.