ARBUTIN BOLEH CERAHKAN KULIT?

ARBUTIN BOLEH CERAHKAN KULIT?

Kulit putih cerah? Ramaiii sukakan kulit putih cerah bukan? Hari ni Dr Anne nak share tentang satu bahan yang selalu dikaitkan dengan pencerahan kulit iaitu ARBUTIN.

Arbutin telah mula dikaji secara serius dalam keberkesanannya sejak 30 tahun yang lalu. Ia didapati mampu mengurangkan bintik hitam, menghilangkan parut jerawat dan meratakan tona kulit.

Penggunaan arbutin sangat menarik perhatian kerana dapat memberi kesan pencerahan lebih baik daripada vitamin C, kojic acid, dan likoris.

Pada dasarnya, bintik gelap pada peemukaan kulit berasal dari pigmen yang dihasilkan di dalam sel yang disebut melanocytes. Sel melanocytes pula mengandungi enzim yang disebut tyrosinase.

Enzim ini boleh diaktifkan pada bila-bila masa apabila terdedah pada sinar UV dan di sinilah bermulanya bintik-bintik hitam dan jeragat.

Kita tidak dapat mengelak daripada cahaya matahari dan sinar yang berbahaya ini. Maka, semakin banyaklah tyrosinase diaktifkan dan pigment gelap terhasil setiap hari.  

Arbutin dilihat mampu mengatasi masalah ini. Bukan dengan menghalang sinar UV, tetapi dengan menghalang aktiviti tyrosinase. Ia juga menghalang pematangan melanosome yang dihasilkan oleh melanocytes. Seterusnya kandungan melanin akan berkurangan.  

Arbutin merupakan sebatian yang mempunyai struktur molekul D-glucopyranoside yang terikat pada hydroquinone. D-glucose wujud dalam bentuk α, β, atau γ-anomerik dalam larutan aqueous, dengan β-anomer menjadi bentuk yang dominan dan disebut sebagai β-arbutin.

Kebanyakan β-arbutin berasal dari tumbuhan. Ia diperoleh dari beberapa spesis daun kering tumbuhan yang berbeza termasuk, bearberry, blueberry, cranberry, dan pohon pir. Manakala α-arbutin pula disintesis di dalam makmal.

Namun, α-arbutin lebih berkesan daripada β-arbutin yang diperoleh secara semula jadi. Ini kerana α-arbutin lebih stabil dan bertindak melepaskan komponen aktifnya secara perlahan.

Oleh itu, ia lebih lembut pada kulit. α-arbutin mencerahkan tanpa mengeringkan dan merengsakan kulit. Ini menjadikannya lebih sesuai untuk kulit sensitif.

Lebih menarik, walaupun arbutin merupakan derivative dari hydroquinone, ia kurang sitotoksik kepada melanocytes. Pada kepekatan rendah, arbutin juga tidak mempengaruhi fungsi lain sel melanocytes manusia yang dikultur secara significant.

Ini telah dibuktikan daripada sebuah kajian oleh Maeda et al. dan diterbitkan oleh Society of Cosmetic Chemist. Kajian tersebut menunjukkan arbutin tidak mempengaruhi mRNA dan ekspresi protein tyrosinase dalam julat berkepekatan rendah (0.1 dan 1.0 mM).

Jika digunakan dalam julat kepekatan tersebut, arbutin masih boleh menghalang sintesis melanin dalam sel daripada berlaku. Ini bermaksud, walaupun aktiviti tyrosinase dapat dihalang, ia tidak merencatkan penghasilan tyrosinase baru.  

Pada kepekatan yang lebih tinggi, arbutin mungkin dapat mencerahkan kulit dengan lebih cepat, namun terdapat risiko yang lebih besar untuk berlakunya hiperpigmentasi.

Arbutin menunjukkan tahap toxicity yang berbeza, tetapi menurut Yong Chool Boo dari Kyungpook National University, Korea, 1 mM dianggap sebagai batas kepekatan antara cytotoxicity dan selamat.

Scientific Committee on Consumer Safety telah menetapkan hanya 2% kepekatan α-arbutin dan 7% kepekatan β-arbutin sebagai selamat dalam produk penjagaan kulit wajah.

Selain itu, arbutin berisiko untuk melepaskan molekul hydroquinone pada pH yang lebih tinggi. Namun, ini tidaklah menjadi faktor kebimbangan utama kerana kebanyakan produk penjagaan diri mempunyai pH yang neutral.  

Walaupun arbutin secara umumnya selamat digunakan pada kulit, terdapat beberapa kes dermatitis atau alergi telah dilaporkan pada pengguna produk kosmetik yang mengandungi arbutin.

Oleh itu, jika terdapat kesan sampingan semasa menggunakan produk yang mengandungi arbutin, anda dinasihatkan menghentikan penggunaannya dan berjumpa doktor dengan segera.